Digi memasuki sektor IoT bernilai RM9.5 billion dengan strategi Kenderaan Terhubung

Home
Press Release
June 7, 2017
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Digi memasuki sektor IoT bernilai RM9.5 billion dengan strategi Kenderaan Terhubung

  • Kenderaan Terhubung berpotensi menjadi pemacu bisnes utama bagi Digi memanfaatkan jaringan 4G+ yang mantap
  • Melancarkan solusi pengesanan kenderaan B2B iFleet, dan mula digunakan oleh syarikat-syarikat ternama dalam sektor FMCG, automobil dan infrastruktur
  • Bersedia untuk mengaktifkan solusi insurans berasaskan penggunaan (UBI) bagi kenderaan penumpang dan solusi pengesanan kenderaan B2C pada Pertengahan Kedua 2017

SHAH ALAM, 8 Jun 2017 – Di Malaysia, kenderaan terhubung dan insurans telematik telah dikenalpasti sebagai dua kegunaan IoT yang paling pesat berkembang dan dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 billion kepada Pendapatan Kasar Negara (PNK) pada 2020 . Hari ini, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mengumumkan rancangan untuk melibatkan diri dalam teknologi IoT (Internet of Things) dengan memperkenalkan strategi Kenderaan Terhubung mereka yang komprehensif, dengan menawarkan pelbagai pilihan solusi untuk kenderaan komersil dan peribadi, dan juga untuk syarikat insurans.

Turut serta memacu masa depan IoT
Keterhubungan mesin-ke-mesin (M2M) bukan sahaja menjadi prasyarat untuk prestasi bisnes yang optimum, tetapi juga menjadi faktor penentu untuk memastikan bisnes memiliki kelebihan kompetitif. Solusi yang memanfaatkan kepintaran atas keterhubungan M2M bakal menjadi pemacu utama dalam ‘norma baharu’ suasana bisnes dengan IoT. Bagi Digi, memanfaatkan kepintaran atas keterhubungan M2M untuk menawarkan solusi IoT baharu adalah perkembangan yang dijangka.

Praveen Rajan, Ketua Pegawai Digital Digi berkata, “Fokus Digi terhadap pasaran IoT menggambarkan strategi yang jelas dan munasabah yang diambil bagi mempelbagaikan sumber pendapatan selaras dengan transformasi kami daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi kepada syarikat digital. Dengan memanfaatkan jaringan 4G+ kami yang mantap, inilah peluang untuk kami menjana keuntungan daripada data dan menarik lebih ramai pelanggan untuk menilai tawaran digital baharu kami yang mempakejkan keterhubungan dengan solusi pintar. Kami ingin menterjemahkan keupayaan digital kepada nilai bisnes sebenar, dengan impak yang bermakna kepada para pelanggan kami.

Strategi IoT Digi meliputi pilihan untuk membangunkan solusi pintar atau lebih efisyen, melalui kerjasama dengan platform teknologi atau pakar sedia ada untuk menawarkan solusi IoT bergantung kepada peluang yang muncul. Kenderaan Terhubung adalah penawaran pertama dalam ruang lingkup IoT.

“Situasi pasaran automotif di Malaysia menunjukkan terdapat peluang untuk Digi membawa perubahan kepada status quo, dengan mencipta nilai daripada pertumbuhan dalam industri ini. Potensi dilihat cerah memandangkan keperluan untuk kenderaan komersil yang membawa muatan memasang sistem pengesanan masa-sebenar semakin mendesak berdasarkan panduan keselamatan SPAD ICOP. Tambahan pula, bilangan kenderaan berdaftar melebihi 27.6 juta dan penambahan bilangan kenderaan dijangka kekal pada 60,000 dan 500,000 unit masing-masing untuk kenderaan komersil dan kenderaan peribadi,” ujar Praveen.

iFleet sebagai solusi B2B bagi kenderaan komersil
iFleet ialah solusi B2B yang disasarkan kepada kenderaan komersil, iaitu solusi IoT yang pertama diperkenalkan oleh Digi daripada pilihan-pilihan penawaran Kenderaan Terhubung. Solusi pengesanan kenderaan pintar ini membolehkan bisnes menjejak kenderaan mereka dalam masa-sebenar dan merupakan solusi lengkap paling mapan di pasaran buat masa ini.

Kelebihan utama iFleet berbanding solusi lain di pasaran termasuklah:

  • Solusi yang lengkap dan merangkumi perkakasan, perisian dan keterhubungan sekaligus
  • Teknologi pengesanan terkini yang membolehkan analisis kenderaan lebih baik untuk menambah baik produktiviti bisnes
  • Memberi gambaran tentang kelakuan pemandu dan system pemarkahan untuk memupuk budaya pemanduan selamat
  • Solusi yang menambah nilai dan berterusan dinaik taraf untuk memperkenalkan ciri-ciri melangkaui pengesanan kenderaan, contohnya pengurusan pintar bahan api dan insurans berasaskan penggunaan (UBI)

Meskipun terdapat ramai pihak lain di pasaran yang menyediakan perkhidmatan seumpama ini, kami yakin kami membawa perubahan ulung dalam pasaran solusi pengurusan kenderaan dengan menawarkan solusi terbaik yang lengkap semua-dalam-satu pada harga yang berpatutan. Kos yang rendah untuk solusi yang komprehensif dan berterusan dinaik taraf akan menguntungkan lebih banyak perniagaan di Malaysia, walau apa pun saiz syarikat – usaha pendigitalan akan memberi kelebihan kompetitif kepada mereka dengan membantu mereka menguruskan bisnes dengan lebih efisyen,” kata Praveen.

Salah sebuah syarikat ini ialah SnT Global, syarikat perkhidmatan logistik tempatan yang telah menyerap system iFleet sebagai persediaan menghadapi era e-dagang di Malaysia . Ketika syarikat logistik yang lebih besar mulai merasa tekanan untuk menghadapi kadar pertumbuhan jualan atas talian dan penghantaran barangan, pasaran luas terbuka untuk syarikat logistik tahap kedua untuk mengambil kesempatan dan peluang daripada pasaran e-dagang yang semakin berkembang.

Selain itu, iFleet juga sudah mula digunakan dalam pelbagai sektor industri contohnya FMCG, otomobil dan infrastruktur oleh syarikat-syarikat ternama seperti Peugeot, Kia, Gamuda dan Citylink. Ini menunjukkan semakin banyak syarikat melihat iFleet sebagai solusi pengesanan kenderaan yang dipercayai.

iFleet kini sedia ditawarkan untuk semua perniagaan di Malaysia yang berminat untuk memanfaatkan teknologi digital sebagai kelebihan kompetitif dalam bisnes mereka. Syarikat yang juga merupakan pelanggan Digi Enterprise juga berhak menerima tawaran harga promosi sebanyak RM75 sebulan berbanding dengan tawaran biasa RM90 sebulan untuk solusi pengesanan kenderaan semua-dalam-satu, sah sehingga 30 Jun 2017.

Solusi B2C untuk kenderaan peribadi pada Pertengahan Kedua 2017
Sebagai sebahagian daripada strategi Digi yang komprehensif, Digi akan memperkenalkan solusi kenderaan terhubung B2C dalam Pertengahan Kedua 2017 yang bakal menawarkan solusi bersepadu yang merangkumi ciri-ciri pengesanan, keselamatan pemandu, keselamatan kenderaan dan perkhidmatan pintar dalam kenderaan pada harga yang berpatutan.

Solusi insurans berasaskan penggunaan (UBI) untuk syarikat insurans dan pemilik kenderaan pada Pertengahan Kedua 2017
Pada masa yang sama, Digi juga sedang membuat persediaan untuk membawa perubahan kepada industri insurans permotoran dengan kebolehan menganalisis kelakuan pemandu dan melaksanakan sistem pemarkahan. Digi bakal memperkenalkan solusi insurans berasaskan penggunaan yang membolehkan syarikat insurans mengira premium insurans permotoran dengan lebih jitu berasaskan prestasi kenderaan individu atau syarikat, dan ini bakal menguntungkan pemandu berhemah dengan bayaran premium lebih rendah.

Produk ini akan memupuk tabiat pemanduan berhemah di samping mengurangkan nisbah kerugian tuntutan insurans bagi syarikat insurans. Pada 2016, premium tertulis kasar untuk insurans permotoran berjumlah RM8.17 billion dengan nisbah tuntutan bersih keseluruhan sebanyak 66.9% bagi segmen ini. Produk UBI ini akan sedia dilancarkan sebaik sahaja tarif insurans diliberalisasikan pada pertengahan kedua 2017. Digi sedang berkerjasama dengan beberapa syarikat insurans utama untuk memahami jenis data yang sedia ada dan cara menggunakan data tersebut untuk mengira premium insurans.

Digi dan IoT – gabungan ulung untuk perniagaan anda
Daripada senarai penawaran Digi untuk Kenderaan Terhubung, Digi telah menyenaraikan solusi yang komprehensif dan versatil untuk menepati keperluan semua lapisan pelanggan, daripada B2B, B2C hinggalah B2B2B/C. “Perniagaan, pemilik kenderaan dan syarikat insurans yang mencari kelebihan kompetitif menerusi solusi IoT boleh melihat lebih banyak pilihan penawaran yang dinamik dan perkongsian cerita kejayaan daripada Digi tidak lama lagi,” tambah Praveen lagi.

Layari www.ifleet.my untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang iFleet.

Mengenai iFleet

iFleet adalah perkhidmatan pengurusan kenderaan (telematik) disokong oleh Digi, penyedia perkhidmatan keterhubungan mudah alih terkemuka di Malaysia, dengan kerjasama kumpulan CSE, pemain insudtri telematik utama yang memiliki pengalaman selama 30 tahun memajukan komunikasi dan keselamatan teknologi elektronik dalam industri automotif.