Digi menyediakan akses internet percuma untuk pelajar B40 di PPR

Home
Press Release
February 15, 2021
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong
  • WiFi percuma di 12 Program Perumahan Rakyat (PPR) di lima negeri untuk kelangsungan pendidikan
  • Lanjutan waktu operasi di 11 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang dikendalikan oleh Digi
  • Percuma data 30GB sebulan untuk produktiviti dan laman web pembelajaran

SubangJaya, 16 Februari 2021 - Digi Telecommunications Sdn Bhd (“Digi”) menyediakan WiFi 4G percuma di 12 Program Perumahan Rakyat (PPR) di Perlis, Perak, Terengganu, Melaka dan Johor dalam usaha membantu memudahkan urusan pembelajaran dalam talian bagi pelajar dalam kalangan komuniti B40, hingga akhir April ini.

Berikutan penutupan sekolah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akses internet percuma yang disediakan oleh Digi di PPR ini membolehkan ribuan pelajar mengikuti kelas dalam talian melalui program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dianjurkan oleh kerajaan.

Dua bulan yang lalu, Digi telah memasang penghala tanpa wayar (wireless router) di kemudahan awam dalam kawasan PPR seperti perpustakaan komuniti, bilik pejabat dan surau, bagi memastikan pelajar B40 mempunyai akses kepada internet berkelajuan tinggi yang berkualiti untuk mengikuti sesi kelas dalam talian tanpa sebarang gangguan.

Di samping itu, 11 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang dikendalikan oleh Digi di Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor juga telah melanjutkan waktu operasinya dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, supaya para pelajar boleh menggunakan kemudahan serta peranti di PIK bagi pembelajaran dalam talian, dan ini dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat.

Pusat-pusat tersebut juga memberi akses kepada pelajar terhadap sumber pembelajaran tambahan seperti Jom Tuisyen iaitu sebuah platform e-pembelajaran terkemuka di Malaysia, yang mengandungi koleksi video interaktif pelbagai bahasa merangkumi lebih daripada 180 mata pelajaran teras dan elektif, berpandukan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sejak awal tahun ini, lebih 150 sesi Jom Tuisyen yang memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar SPM telah dijalankan di PIK.

Sebagai sokongan tambahan bagi menampung keperluan rakyat terhadap kemudahan internet dan pendidikan dalam masa yang mencabar ini, Digi telah mengusahakan pemberian data 30GB sebulan (1GB setiap hari) secara percuma kepada semua pelanggannya, bagi tujuan produktiviti dan pembelajaran sejak April tahun lalu. Pemberian data ini melebihi peruntukan data bulanan dalam pelan sedia ada mereka.

Justeru, pada Januari tahun ini Digi telah memperkenalkan Pakej Data Khas untuk pelajar lepasan SPM, STPM dan juga pelajar di institusi pengajian tinggi, dengan menawarkan 15GB pas data prabayar serendah RM20 sebulan.

Semua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Digi untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan bantuan kemudahan internet kepada isi rumah B40, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini.