Kaji Selidik kesejahteraan digital kanak-kanak Digi: Peningkatan masa skrin, penurunan buli siber

Home
Press Release
November 23, 2021
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong
  • 5% responden mengalami buli dalam talian sejak pandemik, berbanding 8% sebelumnya 
  • 42% kanak-kanak telah menjalani latihan anti-buli siber, tetapi 80% kanak-kanak bawah 10 tahun tidak
  • Hampir separuh daripada responden mengalami kesunyian dan berasa kecewa


SUBANG JAYA, 23 November 2021 – Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) hari ini mengumumkan hasil kaji selidik “Kehidupan Dalam Talian Kanak-Kanak Semasa COVID-19: Nilai & Cabaran (2021)” yang memberikan perincian tentang kehidupan digital belia semasa pandemik ini.


Usaha ini merupakan kaji selidik ketiga Yellow Heart Digi yang mengemukakan pengalaman golongan muda dalam aspek keselamatan dalam talian, kesejahteraan mental dan pemupukan kemahiran masa hadapan. Bersama-sama Universiti Sunway sebagai rakan penyelidikan Digi, kaji selidik ini melibatkan penyertaan 1,746 pelajar berumur bawah 21 tahun di seluruh negara dari Ogos hingga September 2021.


Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata hasil penyelidikan ini akan membimbing inisiatif Digi pada masa akan datang untuk menambah baik kesejahteraan digital belia memandangkan penggunaan digital kini merupakan tunjang utama dalam kehidupan mereka.


“Sebagai penyedia perkhidmatan digital, Digi mempunyai tanggungjawab untuk mengenal pasti risiko dan bahaya digital yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak dalam talian serta melindungi mereka. Oleh itu, kaji selidik ini memberi peluang untuk memupuk kemahiran masa hadapan dan mengadakan lebih banyak program mengenai pembinaan kapasiti kanak-kanak supaya dapat meningkatkan daya tahan digital mereka serta menggalakkan penyertaan digital,” kata Philip.


Kaji selidik mendedahkan cara kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa dalam talian

Kaji selidik mendapati 71% kanak-kanak meluangkan lebih banyak masa skrin sejak pandemik, dengan 89% kanak-kanak menggunakan telefon pintar untuk melayari internet manakala 36% responden menggunakan komputer riba dan hanya 22% menggunakan komputer meja.


Responden yang lebih muda telah melaporkan bahawa mereka menghabiskan sebahagian besar masa untuk e-pembelajaran manakala kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas mula meluangkan lebih banyak masa melayari media sosial dan platform penstriman video untuk berhubung dengan rakan mereka di samping mengikuti trend terkini.

Peningkatan kesedaran terhadap buli siber dan penurunan insiden

Meskipun 61% responden bersetuju bahawa buli siber masih merupakan isu besar yang dihadapi, kaji selidik menunjukkan buli dalam talian telah berkurangan sedikit – 8% responden mengalami buli siber sebelum pandemik, tetapi hanya 5% mengatakan mereka mengalami buli siber sejak pandemik bermula. 50% daripadanya melaporkan mereka menghadapi buli dalam talian sekurang-kurangnya sekali seminggu, terutamanya daripada media sosial dan platform pemesejan.

Hanya 42% mengatakan bahawa mereka telah menerima beberapa bentuk bimbingan untuk melindungi diri daripada buli dalam talian, terutamanya daripada ibu bapa, penjaga atau inisiatif yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Sementara itu, 80% kanak-kanak bawah 10 tahun melaporkan bahawa mereka tidak menerima sebarang bentuk latihan perlindungan buli siber. Hal ini menekankan akan keperluan kolaborasi yang lebih bersepadu oleh kerajaan, industri, penjaga, warga pendidik dan ibu bapa untuk meningkatkan inisiatif melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian dengan lebih baik.


Kesejahteraan mental kanak-kanak semasa pandemik

Meskipun kaji selidik melaporkan bahawa secara amnya, pelajar sekolah di Malaysia menghargai  lebihan masa bersama keluarga semasa pandemik ini, namun masih terdapat sentimen negatif di kalangan mereka kerana kebanyakan kanak-kanak tidak dapat bersosial dengan rakan mereka di sekolah, terutamanya kanak-kanak yang lebih matang dan mereka yang berada di kawasan luar bandar pantai Timur dan di Timur Malaysia.


46% responden telah mempelajari perkara baharu dalam talian secara aktif melalui platform seperti YouTube dan kelas dalam talian, walaupun mereka berpendapat kelas tersebut perlu dipendekkan dan dijadikan lebih produktif untuk menggalakkan kesihatan fizikal dan mental yang lebih sihat dalam kalangan pelajar sekolah.


Di samping itu, apabila ditanya mengenai perasaan mereka sepanjang pandemik secara amnya, hampir separuh daripada responden menyatakan mereka tidak dapat merasai perasaan positif dalam hidup, dengan 44% daripadanya mengalami gejala kemurungan yang ringan hingga sangat teruk, seperti yang ditakrifkan mengikut Ujian Saringan Minda Sihat (Depression Anxiety Stress Scale).


Mengukuhkan komitmen terhadap meningkatkan kesejahteraan digital kanak-kanak

Philip berkata, “Hasil kaji selidik ini menekankan keperluan untuk lebih banyak kolaborasi dilakukan dengan pihak yang berkongsi matlamat sama untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih kondusif, selamat dan sihat untuk anak-anak kita. Dalam usaha meneruskan advokasi ini, kami mengalu-alukan lebih ramai rakan kongsi untuk turut serta bagi memaksimumkan impak positif kepada masyarakat.”


Digi telah memperjuangkan daya tahan digital dan internet yang lebih selamat untuk semua sejak sedekad yang lalu melalui program utamanya Internet Selamat, yang memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran masa hadapan digital. Antara usaha lain di bawah inisiatif Yellow Heart termasuklah portal sehenti untuk keperluan keselamatan dan bahan pendidikan (www.safeinternet.my), serta inisiatif Future Skills For All yang memperkayakan pengalaman pendidikan bagi pelajar sekolah menerusi pembangunan modul pembelajaran digital.


Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yellow Heart Digi, layari https://www.digi.com.my/sustainability-yellow-heart.

Penemuan terperinci kaji selidik boleh didapati di sini http://digi.my/syhi.

-TAMAT-