Tiada sempadan

Home

Press Release


October 29, 2007

https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong


KENYATAAN AKHBAR
Untuk Kegunaan Segera

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TV9 @ 03.7952.7999

Siti Aishah Abu Bakar : siti_aishah@tv9.com.my
Noor Farina Ashrudin: farina@tv3.com.my
Syed Badrul Nizam: syed.badrul@tv9.com.my
Hasmizal Abu Hashim : hasmizal@tv9.com.my

TIADA SEMPADAN
TV9 Menjangkau Lebih Jauh Bersama DiGi Dalam Dokumentari Terbaru

Petaling Jaya, 30 Oktober 2007 - Semenjak tampil dengan 9 program terbitan sendiri pada 22 April 2006, TV9, saluran ke-4 Media Prima sentiasa mencari idea baru serta kelainan dalam setiap program yang diterbitkan. Sehingga kini, program-program yang diterbitkan merangkumi semua aspek termasuk pendidikan, hiburan, realiti, majalah serta program bual bicara yang mengenengahkan isu-isu yang relevan dan dekat di hati penontonnya.

Kini, TV9 dengan kerjasama DiGi Telecommunications Sdn Bhd ("DiGi") telah berjaya menerbitkan sebuah lagi program majalah berjudul Tiada Sempadan. Program ini akan menyingkap serta menyelami perasaan dan pengalaman hidup sebagai rakyat asing di negara kita. Krew TV9 akan menjejak kembali asal usul negara mereka serta mengenali sanak saudara mereka di kampung. Walaupun mereka terpaksa berjauhan mencari rezeki, namun ikatan persaudaraan terjalin tidak mengenali erti jarak. Perkembangan teknologi komunikasi telah membuka ruang untuk mereka sentiasa berkomunikasi dengan orang yang tersayang.

Program ini juga bertujuan mengenengahkan kisah-kisah harapan, keberanian dan sikap tidak pernah berputus asa yang boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat kita. Keunikan program ini terletak kepada niatnya yang bukan untuk berceramah, malah ia sebenarnya ingin berkongsi kisah sebenar erti kehidupan yang mengandungi nilai-nilai yang baik serta mampu dijadikan inspirasi dan aspirasi masyarakat kita. Program ini juga telah menyaksikan krew produksi TV9 mengembara di negara-negara seperti negara Indonesia, Filipina, Nepal dan Bangladesh bagi menyingkap kisah hidup individu yang diberi fokus.

Menurut Encik Bukhari Che Muda, Ketua Pegawai Operasi TV9, penerbitan program ini adalah bertepatan kerana masyarakat kita sering memandang rendah terhadap warga asing di negara ini dan mengaitkan mereka dengan gejala-gejala negatif.  Menurutnya juga, masyarakat kita sering didedahkan dengan kisah buruk tentang pekerja asing di negara kita, namun, bukan semua daripada mereka mempunyai sikap yang seumpama itu kerana terdapat mereka yang sentiasa fokus dan tekad dengan tujuan asal mereka untuk datang mencari rezeki di negara lain.

"Program ini tidak bertujuan untuk berceramah. Ia ingin berkongsi kisah hidup individu asing yang bekerja di negara ini. Selain dijadikan iktibar, penonton juga dapat menyelami perasaan individu tersebut dan menyedari hakikat bahawa mereka ini juga ciptaan Tuhan yang tidak harus didiskrimasikan begitu sahaja," ujar Bukhari.

Kata Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, Pengarah Strategi dan Hal Ehwal Korporat DiGi, "Malaysia adalah contoh negara dinamik dari segi ekonomi and teknologi serta  kaya dengan pelbagai kaum dan budaya. Tidak hairan bahawa kejayaan kita menarik masyarakat negara lain untuk mencari rezeki. Melalui program ini, kita dapat mempertingkatkan pemahaman tentang masyarakat rakyat asing. Dan sekaligus menghasilkan manfaat yang menyeluruh lagi selaras dengan interaksi budaya-budaya lain dalam era globalisasi."

Penggambaran Tiada Sempadan telah dijalankan semenjak 20 Ogos yang lalu dan kini telah siap sebanyak 7 episod yang akan ditayangkan bermula 4 November ini pada jam 8.30 malam. Krew produksi dokumentari ini terdiri daripada 4 orang anak muda iaitu Mohd Shahrizal Abd Rahim (penerbit), Anida Atan @ Sujang (Penolong Penerbit), Zaleha Khairene Ismail (wartawan penyiaran dan pengacara) dan Zaimie Anizah Zainuddin (wartawan penyiaran). Apa yang membanggakan lagi ialah kesemua bahagian teknikal termasuk pengendalian kamera dan menyunting (editing) dilakukan oleh mereka sendiri.

Jangan lupa menyaksikan Tiada Sempadan bermula 4 November ini pada jam 8.30 malam hanya di TV9, saluran yang dekat di hati anda.

Selamat menonton!

Mengenai TV9
Dengan cogan kata "Dekat Di Hati", TV9 bersedia untuk menembusi salah satu segmen penonton Malaysia yang paling pesat berkembang dengan sasaran kepada masyarakat Melayu yang menitikberatkan nilai-nilai tradisional. Dengan fokusnya yang jelas, TV9 akan dapat menyerlahkan dirinya dengan menyediakan rancangan hiburan yang menyeronokkan dan memperkukuhkan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan masyarakat Melayu. Program TV9 menarik penonton dari segenap lapisan usia, baik kanak-kanak dan remaja mahupun golongan belia dan dewasa, yang pasti terpikat dengan nilai-nilai positif rangkaian TV ini.

TV9 adalah stesen siaran percuma keempat dalam Kumpulan media Prima Berhad, yang telah memulakan penyiaran ke seluruh Semenanjung Malaysia pada 22 April 2006, dan berpotensi mencapai 7 juta penonton di Semenanjung Malaysia. TV9 sekarang juga boleh didapati di saluran berbayar Astro iaitu saluran 119. Liputan TV9 adalah menyeluruh, mencakupi  semua negeri di Pantai Timur, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.tv9.com.my.

 

Mengenai DiGi
DiGi adalah syarikat komunikasi tanpa wayar yang berkembang pesat serta mendorong inovasi, kemudahan dan nilai terbaik untuk pelanggannya melalui pakej-pakej "DiGi Prepaid", "DiGi Postpaid" dan "DiGi Business".