Sumbangan percuma 1GB berserta pemangkin kelangsungan perniagaan oleh Digi

Home
Press Release
March 30, 2020
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Subang Jaya, 31 Mac 2020 – Digi Telecommunications Sdn Bhd (“Digi”) telah menambah senarai inisiatif baharu untuk membantu para pengguna serta perniagaan kekal terhubung sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan tersebut hadir dalam bentuk data percuma, dan penyediaan perkhidmatan rangkaian yang selamat dan stabil, disamping menggerakkan tenaga kerja yang berdedikasi untuk memastikan tahap keterhubungan dan sokongan khidmat pelanggan kekal konsisten pada waktu ini.

Internet 1GB percuma setiap hari buat para pelanggan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP

  • Mulai 1 April 2020, kesemua pelanggan Prabayar dan Pascabayar akan menerima 1GB internet berkelajuan tinggi secara percuma untuk digunakan di antara jam 8 pagi dan 6 petang.
  • Bagi pelanggan Pascabayar, pemberian ini boleh ditebus melalui bahagian “Rewards” di aplikasi MyDigi.
  • Pelanggan Prabayar pula boleh menebusnya sama ada melalui aplikasi MyDigi dalam “Box of Surprise” atau dengan menggunakan Kod Ringkas UMB di *128#.
  • Setelah ditebus, 1GB akan diberikan setiap hari secara automatik.
  • Tawaran-tawaran ini, termasuk tawaran lain yang dinyatakan sebelum ini akan berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan PKP. Lihat senarai penuh tawaran keterhubungan dan pembelajaran yang ditawarkan di sini. .

Manfaat yang ditambahbaik untuk perniagaan menguruskan operasi mereka dari jarak jauh

  • Mulai 1 April 2020, internet berkelajuan tinggi 1GB yang diberikan percuma ini dapat juga dinikmati oleh pelanggan Digi Business di antara jam 8 pagi dan 6 petang. Tawaran tersebut boleh ditebus di bahagian “Rewards” di aplikasi MyDigi.
  • Perniagaan juga dapat menikmati:
  • Akses 3 bulan percuma ke atas altHR, dan selepas itu, hanya perlu membayar yuran permulaan nominal sebanyak RM50 setiap bulan bagi menguruskan keperluan sumber manusia mereka melalui telefon mudah alih.
  • Setiap pelanggan Omni Hotline akan diberikan masa serta sambungan tambahan sehinga 50 % untuk membantu syarikat yang memerlukan kemudahan panggilan jualan dan sokongan ketika bekerja dari rumah.
    Lihat senarai lengkap pemangkin kesinambungan perniagaan di sini.

Menyuntik pelaburan untuk mengekalkan ketersediaan rangkaian yang stabil

Adalah menjadi keutamaan kami dalam memastikan ketersediaan dan kualiti rangkaian Digi sentiasa konsisten bagi memastikan rakyat Malaysia kekal terhubung. Rangkaian Digi telah dibangunkan untuk beroperasi dalam situasi kecemasan seperti ini, dan kami sentiasa memantau penggunaan rangkaian dengan teliti untuk menangani tabiat para pengguna yang kian berubah, termasuk keperluan petugas barisan hadapan. Suntikan perbelanjaan tambahan ke atas rangkaian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap liputan dan kapasiti agar ia dapat memenuhi:

  • Peningkatan dalam kadar penggunaan serta peralihan trafik rangkaian dari kawasan perniagaan ke kawasan perumahan.
  • Mengoptimumkan pengalaman pengguna serta memudahkan ‘kerja dari rumah’ ketika para pengguna dan perniagaan meletakkan kebergantungan mereka ke atas kemudahan persidangan video serta khidmat penstriman.
  • Liputan konsisten untuk bandar-bandar sekunder dan kawasan luar bandar agar semua warga Malaysia memiliki akses pada waktu yang getir ini.
  • Mengutamakan prestasi rangkaian di lokasi kritikal seperti hospital, pusat bantuan, agensi kerajaan dan penguatkuasaan, serta pusat media di seluruh negara, dan banyak lagi.
  • Menyumbangkan analisis data dan penyelesaian teknologi kepada pihak kerajaan untuk membendung penularan wabak ini.

 

Lebih daripada 700 kakitangan bekerja 24/7 di barisan hadapan, termasuk Kedai Digi untuk memastikan rakyat Malaysia kekal terhubung

  • Pusat panggilan dan pasukan bantuan media sosial terus bersedia untuk menangani keperluan dan isu para pelanggan sepanjang hari.
  • Beberapa Kedai Digi bakal dibuka semula mulai 1 April 2020, dan kami telah mengambil kira semua langkah penjagaan yang perlu untuk mengimbangi aspek keselamatan kakitangan kami serta keperluan kritikal para pelanggan:
  • Kedai-kedai ini akan beroperasi pada waktu yang lebih terhad, iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat mulai jam 10:00 pagi hingga 4:00 petang. Lihat senarai penuh kedai-kedai yang akan beroperasi di sini.
  • Hanya sebilangan kecil kakitangan akan bertugas dan mereka akan dilengkapi dengan topeng muka dan sarung tangan.
  • Jumlah pelanggan yang memasuki kedai akan dihadkan pada satu-satu masa. Penanda di atas lantai juga disediakan untuk memastikan perjarakan sosial dan interaksi bebas sentuhan.
  • Pemeriksaan suhu dan pendaftaran semua kakitangan serta pelanggan yang memasuki kedai, untuk membolehkan pengesanan kontak dibuat jika diperlukan.
  • Kedai Digi akan disanitasi sepanjang hari dengan pembersihan menyeluruh setelah kedai ditutup.
  • Kami akan terus mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa berpandukan tatacara pembukaan kedai.
  • Pasukan rangkaian dan operasi IT, serta rakan-rakan kongsi ekosistem yang berkaitan turut bersama untuk mengendalikan operasi harian, termasuk penyenggaraan sistem, pembaikan tapak rangkaian dan penaiktarafan, serta kerja-kerja tambahan untuk memenuhi perubahan corak penggunaan pengguna.
  • Untuk memastikan aspek keterhubungan dan bantuan sokongan pelanggan diteruskan, lokasi-lokasi alternatif bagi kakitangan operasi teknologi dan perkhidmatan pelanggan telah diaktifkan dan kini beroperasi sepenuhnya. Kakitangan yang terlibat telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan bekerja dari lokasi yang berlainan sebagai langkah berjaga-jaga. Kakitangan Digi yang lain kini bekerja dari rumah, disokong dengan alat-alat produktiviti untuk memastikan kesinambungan fungsi kritikal perniagaan dalam memberi perkhidmatan yang berterusan kepada pelanggan.
  • Keselamatan kakitangan ketika menjalankan tugasan sentiasa diberi keutamaan. Kerja-kerja pembersihan (sanitasi) yang kerap, pemeriksaan suhu serta penyediaan peralatan perlindungan peribadi yang diperlukan.
  • Kami amat berterima kasih kepada semua kakitangan Digi yang berdedikasi dan terus bekerja setiap hari untuk memastikan perkhidmatan rangkaian berjalan lancar dan membolehkan warga Malaysia kekal terhubung.

Akses percuma kepada sumber berita utama

Kami terus berusaha untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat maklumat terkini serta mematuhi seruan kerajaan untuk duduk di rumah pada waktu ini.

  • Di samping talian percuma bagi nombor-nombor kecemasan, kami juga menawarkan akses data percuma ke atas sumber-sumber berita yang dipercayai seperti The Star, Berita Harian, Astro Awani dan lain-lain. Usaha ini adalah untuk memastikan warga Malaysia terus mendapat maklumat mengenai perkembangan Covid-19 terbaharu yang sahih. Lihat senarai penuh nombor talian dan laman web bebas caj di sini.

 

Memelihara nilai ekonomi dalam rantaian pembekalan kami

Kami terus memberi dukungan kepada kakitangan, rakan kongsi, dan rantaian pembekalan pada waktu ini. Antara tindakan yang diambil termasuk:

  • Memastikan kakitangan kami berada dalam keadaan yang selamat, produktif serta terus menerima pampasan dan manfaat mereka tepat pada masanya.
  • Membantu perniagaan kecil dalam rantaian pembekalan kami yang mungkin menghadapi risiko kecairan (liquidity), dengan memastikan pembayaran bagi barangan atau perkhidmatan yang diberikan dibuat tepat pada masanya.

 

Sumbangan sebanyak RM1,000,000 untuk tabung bantuan Covid-19

Sumbangan dalam bentuk tunai telah diberikan kepada GLC Disaster Relief Network (GDRN) yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, di bawah naugan Khazanah Nasional Berhad. Dana ini akan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan bagi pembelian bekalan perubatan, alatan perlindungan peribadi, mesin ventilator dan barangan keperluan lain untuk membantu pihak kementerian melawan penularan Covid-19 yang sedang berlarutan.

Kami ingin mengunjurkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, agensi-agensi penguatkuasaan serta pihak kerajaan yang tekad dalam menangani krisis Covid-19.